Sunday, 30 November 2014

Kenapa Sering Gagal Dalam Hidup

Assalamualaikum,
Sekali lagi hari ini saya nak kongsikan hasil bacaan yang cukup menarik, melalui buku Bebas Dari Belenggu hasil tulisan Dr. Azhar Hj Sarip. Tajuk tulisannya adalah “Kenapa Sering Gagal Dalam Hidup”. Semoga kita dapat manfaatkannya dan melihat kehidupan kita sebagai seorang hamba Allah.

… “Ada orang berputus asa dalam mencari pekerjaan, kemudian beralih arah ke bidang perniagaan. Pada peringkat permulaan, semuanya berjalan lancer tetapi selang beberapa bulan semuanya lingkup. Apabila terjadinya keadaan sebegini, mengapa timbullah satu persoalan mengapa orang lain boleh berjata sedangkan diri sendiri lebih bersungguh-sungguh, lebih kreatif dan lebih bijak tetapi gagal. Masalah sebegini sebenarnya dihadapi oleh ramai kalangan orang kita. Mengapa?

Persoalan ini perlu kita kupas agar dapat mencari punca permasalahan dan inSya-ALLAH kita berupaya menyelesaikannya. Ramai berpendapat bahawa masalah ini merupakan punca dari masalah spiritual.  Ia bermaksud perjalanan kehidupan atau rezeki kita terhalang disebabkan terdapat ‘sesuatu’ yang menghalang kita daripada Berjaya. ‘Sesuatu’ itu mungkin datang daripada niat jahat orang lain atau masalah keturunan iaitu saka.

Saya tidak menyangkal pendapat ini tetapi saya mempunyai takrifan yang berbeza tentang masalah kerohanian. Pada pandangan saya, masalah kerohanian adalah masalah kekuatan jiwa seseorang itu. Jika seseorang itu mempunyai jiwa yang kental dan mantap, maka dia akan mudah mengendalikan perjalanan kehidupan serta rezekinya dengan mudah.

ALLAH tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu hingga kaum itu sendiri mengubahnya. Sebenarnya kita diberi peluang untuk mengubah corak serta taraf hidup kita, tetapi kita perlu tahu cara dan kaedah betul yang membawa kepada perubahan positif. Untuk mengubah nasib itu, memerlukan jiwa yang mantap dan bukan hanya minda yang positif.

Minda yang dikatakan positif belum tentu mempunyai jiwa yang mantap. Tetapi jiwa yang mantap sudah tentu mempunyai 100% minda yang positif. Oleh itu, perubahan itu perlu bermula dengan jiwa. Tanpa jiwa, minda tidak mampu melakukan proses pemikiran.
Kita sering gagal dalam hidup kerana hanya menggunakan minda sebagai pemandu arah dalam segala aspek kehidupan. Apabila minda kita berserabut atau berada dalam tekanan, maka berlaku keputusan yang dibuat itu salah atau tidak mendatangkan hasil. Situasi ini akan membuatkan kita terasa tertekan. Sebarang tindakan atau keputusan susulan pula lebih membawa kepada ketidakberhasilan.

Ketika berada dalam keadaan ini, kita dapat melihat wajah mereka tidak ceria, muram, serta membosankan. Apabila wajah atau ekspresi diri ini ditonjolkan kepada umum, pastinya jawapan untuk apa jua soalan bertukar negative. Ia akan menyebabkan mereka hilang keyakinan diri, menjadi pemarah dan secara tidak langsung kesihatan lahiriah terganggu. Jika hal ini tidak diubah, perjalanan kehidupan itu akan terganggu terutamanya hal-hal yang melibatkan wang ringgit.

Jika anda sering gagal dalam hidup, apa yang perlu dilakukan adalah keluar daripada kepompong minda yang selama ini anda gunakan untuk mencari penyelesaian. Apabila berada dalam tekanan, anda akan menjadi tidak rasional dan sering kali keputusan yang dibuat tidak mendatangkan hasil. Ia akan menambahkan beban diri anda.

Anda perlu mencapai ketenangan jiwa. Jiwa tenang adalah jiwa mantap yang mampu menjana minda positif dan memberi jalan penyelesaian dalam setiap masalah. Jiwa yang tenang akan selalu mengingati Pencipta-NYA dan jiwa akan lebih mantap hasil daripada keyakinan yang jitu kepada ALLAH S.W.T.

Jiwa yang tenang dapat dicapai melalui kaedah meditasi super sedar. Dalam Islam, keadaan meditasi super sedar ini diperoleh melalui solat yang benar-benar khusyuk. Ketika dalam kekhusyukan itu, segala permasalahan akan hilang kerana jiwa kita berada dalam keadaan yang begitu tenang. Apabila jiwa kita tenang dan mantap, segala tindakan kita lebih baik dan Berjaya. Kita juga yakin bahawa segala usaha perlu dilakukan namun keputusan adalah hak milik ALLAH jua.

Kita perlu membiarkan masalah lampau menjadi satu sejarah untuk kita. Kita perlu melihat masa hadapan dengan jelas. Peristiwa hari ini bakal bertukar menjadi sejarah pada esok hari. Kita tidak melupakan sejarah tetapi kita perlu belajar dari sejarah. Biarpun kita sering mengungkap sejarah mengajar kita namun berapa ramai yang tahu bagaimana pada setiap masa hadapan pasti ada sejarah silam.


Bebas Dari Belenggu, Dr Azhar Hj Sarip, Page 99.


Sumber: Internet








No comments:

Post a Comment