Monday, 1 December 2014

Ruginya Amalan Kita Jika...


Antara penentu amal kebaikan kita diterima Allah bergantung kepada sebaik mana hubungan kita sesama manusia. Akhlak dan amalan, ibarat kuku dengan isi. Andai terkopeknya kuku di atas, meranalah isi dibawahnya. Andai buruknya akhlak, sia-sialah segala amalan yang dilakukan selama ini. 
Ruginya amalan kita jika....

Hasad

Rasullullah S.A.W mengingatkan:

"Berwaspadalah kamu tentang hasad! Sesungguhnya hasad memakan semua kebaikan, sebagaimana api memakan kayu" (Riwayat Abu Dawud).

Hasad ialah perasaan tidak selesa jika melihat orang lain merasai sesuatu nikmat. Sebaliknya dia mengharapkan nikmat itu lenyap daripada saudaranya. Alangkah ruginya, solat yang dilakukan seharian, gugur begitu sahaja sebaik berasa iri hati melihat jiran berperabot baru!


Menghina Saudara Muslim

Pesan Nabi:

"Cukuplah seseorang dikira melakukan kekejian dengan menghina saudara Muslimnya!"
(Riwayat Muslim)

Perbuatan lahir daripada sikap. Orang yang menghina orang lain ialah orang yang ada sikap mudah memandang hina orang lain.

Awas, bahaya sekali sikap memandang rendah orang lain!

Rasullullah mengingatkan hal ini dengan mengisahkan,  "Ada seorang lelaki berkata, demi Allah, Allah tidak akan mengampuni si polan!", (dia memandang hina saudaranya memandangkan tabiat saudaranya yang sering bermaksiat).

Lalu Allah berkata, 'Siapakah yang berhak menetapkan pada-Ku untuk tidak mengampunkan di polan?, Sesungguhnya Aku telah ampunkan si polan, dan Aku gugurkan segala amalanmu!' (Riwayat Muslim).


Takbur

Daripada sikap mudah memandang hina orang lain, terbentuklah satu lagi sikap keji, iaitu takbur. Takbur ialah rasa diri lebih baik, mulia daripada orang lain. Awas, cukuplah dengan sekelumit takbur dihati, tertutuplah pintu syurga untuk kita. 

Rasulullah bersabda: 
"Tidak akan masuk Syurga, siapa yang ada dalam hatinya walau sebesar zarah rasa takbur!"

Seorang sahabat bertanya:
"Bagaimana dengan seseorang yang sukakan bajunya yang elok-elok, sandalnya yang elok-elok."

Rasullullah pun bersabda:
"Sesungguhnya Allah Maha Cantik, suka akan  kecantikan. Takbur itu, menyanggah kebenaran (kerana ego) dan menghina orang lain!. (Riwayat Muslim)


Bergaduh Dengan Saudara Muslim

Rasullullah mengkhabarkan:
"Dibukakan pintu Syurga setiap hari Isnin dan Khamis, lalu diampunkan semua manusia yang tidak mensyirikkan Allah, kecuali orang yang saling bertelingkah".

Maka diseru, 'Tangguhkan dua orang ini sehingga mereka berbaik, tangguhkan dua orang ini sehingga mereka berbaik.' (Riwayat Muslim)

Marilah sama-saman kita menjaga hubungan baik sesama kita. Mudah-mudahan diredhai Allah, sekaligus tidak rugi amalan kita...


Petikan Solusi isu 72, page 118.









No comments:

Post a Comment