Assalamualaikum,
Sekali lagi hari ini saya nak kongsikan hasil bacaan
yang cukup menarik, melalui buku Bebas
Dari Belenggu hasil tulisan Dr. Azhar Hj Sarip. Tajuk tulisannya adalah
“Kenapa Sering Gagal Dalam Hidup”. Semoga kita dapat manfaatkannya dan melihat kehidupan kita sebagai seorang hamba Allah.
… “Ada orang berputus asa dalam
mencari pekerjaan, kemudian beralih arah ke bidang perniagaan. Pada peringkat
permulaan, semuanya berjalan lancer tetapi selang beberapa bulan semuanya
lingkup. Apabila terjadinya keadaan sebegini, mengapa timbullah satu persoalan
mengapa orang lain boleh berjata sedangkan diri sendiri lebih
bersungguh-sungguh, lebih kreatif dan lebih bijak tetapi gagal. Masalah
sebegini sebenarnya dihadapi oleh ramai kalangan orang kita. Mengapa?
Persoalan ini perlu kita kupas
agar dapat mencari punca permasalahan dan inSya-ALLAH kita berupaya menyelesaikannya.
Ramai berpendapat bahawa masalah ini merupakan punca dari masalah
spiritual. Ia bermaksud perjalanan
kehidupan atau rezeki kita terhalang disebabkan terdapat ‘sesuatu’ yang
menghalang kita daripada Berjaya. ‘Sesuatu’ itu mungkin datang daripada niat
jahat orang lain atau masalah keturunan iaitu saka.
Saya tidak menyangkal pendapat
ini tetapi saya mempunyai takrifan yang berbeza tentang masalah kerohanian.
Pada pandangan saya, masalah kerohanian adalah masalah kekuatan jiwa seseorang
itu. Jika seseorang itu mempunyai jiwa yang kental dan mantap, maka dia akan
mudah mengendalikan perjalanan kehidupan serta rezekinya dengan mudah.
ALLAH tidak akan mengubah nasib
sesuatu kaum itu hingga kaum itu sendiri mengubahnya. Sebenarnya kita diberi
peluang untuk mengubah corak serta taraf hidup kita, tetapi kita perlu tahu
cara dan kaedah betul yang membawa kepada perubahan positif. Untuk mengubah
nasib itu, memerlukan jiwa yang mantap dan bukan hanya minda yang positif.
Minda yang dikatakan positif
belum tentu mempunyai jiwa yang mantap. Tetapi jiwa yang mantap sudah tentu
mempunyai 100% minda yang positif. Oleh itu, perubahan itu perlu bermula dengan
jiwa. Tanpa jiwa, minda tidak mampu melakukan proses pemikiran.
Kita sering gagal dalam hidup
kerana hanya menggunakan minda sebagai pemandu arah dalam segala aspek
kehidupan. Apabila minda kita berserabut atau berada dalam tekanan, maka
berlaku keputusan yang dibuat itu salah atau tidak mendatangkan hasil. Situasi
ini akan membuatkan kita terasa tertekan. Sebarang tindakan atau keputusan
susulan pula lebih membawa kepada ketidakberhasilan.
Ketika berada dalam keadaan ini,
kita dapat melihat wajah mereka tidak ceria, muram, serta membosankan. Apabila
wajah atau ekspresi diri ini ditonjolkan kepada umum, pastinya jawapan untuk
apa jua soalan bertukar negative. Ia akan menyebabkan mereka hilang keyakinan
diri, menjadi pemarah dan secara tidak langsung kesihatan lahiriah terganggu.
Jika hal ini tidak diubah, perjalanan kehidupan itu akan terganggu terutamanya
hal-hal yang melibatkan wang ringgit.
Jika anda sering gagal dalam
hidup, apa yang perlu dilakukan adalah keluar daripada kepompong minda yang
selama ini anda gunakan untuk mencari penyelesaian. Apabila berada dalam
tekanan, anda akan menjadi tidak rasional dan sering kali keputusan yang dibuat
tidak mendatangkan hasil. Ia akan menambahkan beban diri anda.
Anda perlu mencapai ketenangan
jiwa. Jiwa tenang adalah jiwa mantap yang mampu menjana minda positif dan
memberi jalan penyelesaian dalam setiap masalah. Jiwa yang tenang akan selalu
mengingati Pencipta-NYA dan jiwa akan lebih mantap hasil daripada keyakinan
yang jitu kepada ALLAH S.W.T.
Jiwa yang tenang dapat dicapai
melalui kaedah meditasi super sedar. Dalam Islam, keadaan meditasi super sedar
ini diperoleh melalui solat yang benar-benar khusyuk. Ketika dalam kekhusyukan
itu, segala permasalahan akan hilang kerana jiwa kita berada dalam keadaan yang
begitu tenang. Apabila jiwa kita tenang dan mantap, segala tindakan kita lebih
baik dan Berjaya. Kita juga yakin bahawa segala usaha perlu dilakukan namun
keputusan adalah hak milik ALLAH jua.
Kita perlu membiarkan masalah
lampau menjadi satu sejarah untuk kita. Kita perlu melihat masa hadapan dengan
jelas. Peristiwa hari ini bakal bertukar menjadi sejarah pada esok hari. Kita
tidak melupakan sejarah tetapi kita perlu belajar dari sejarah. Biarpun kita
sering mengungkap sejarah mengajar kita namun berapa ramai yang tahu bagaimana
pada setiap masa hadapan pasti ada sejarah silam.
Bebas Dari Belenggu, Dr Azhar Hj Sarip, Page 99.
|
Sumber: Internet |