Monday 19 January 2015

Lihat Langit Ingat Allah


Petua orang tua-tua mengatakan, kalau hati runsing atau fikiran berasa sempit, dongaklah ke langit. Insya-Allah, hati yang runsing akan mendapat ketenangan. Fikiran yang sempit akan menjadi lapang. Seolah-olah langit yang luas dan tidak bertepi itu mampu memberi rasa tenang di dalam jiwa kita.

Tetapi harus diingat, yang memberi ketenangan itu bukan langit, tetapi Allah S.W.T. Langit hanya menjadi sebab sahaja bagi Allah untuk memberi ketenangan kepada manusia yang melihatnya (langit).

Untuk menjelaskan hal ini, perhatikan satu perkara. Di dunia ini ada dua bentuk penciptaan Allah. Pertama, penciptaan yang dibuat oleh Allah secara langsung. Kedua, ciptaan yang dibuat oleh Allah secara tidak langsung.

Ciptaan langsung daripada Allah S.W.T termasuklah langit, hutan, bukit bukau, gunung-ganang, sungai, laut dan seumpamanya. Semua ini adalah ciptaan yang dibuat oleh Allah tanpa campur tangan manusia. Istilah yang selalu digunakan ialah 'alam semulajadi'.

Maksud alam semula jadi bukanlah alam ini terjadi dengan sendiri. Allah S.W.T yang menjadikannya. 'Semula jadi' itu maksudnya Allah telah ciptakan sejak awal lagi. Ada antaranya dicipta sebelum penciptaan manusia.

Ciptaan secara tidak langsung pula adalah seperti bangunan, kenderaan, perabot, pakaian dan lain-lain. Semua ciptaan ini dibuat oleh manusia. Dengan akal fikiran, tenaga fizikal dan keupayaan imaginasi, manusia mencipta pelbagai alat teknologi.

Tetapi ingat! Manusia itu diciptakan oleh Allah S.W.T. Akal, jiwa dan seluruh anggotanya adalah pemberian Allah juga. Manusia tidak akan dapat mencipta atau membuat sesuatu tanpa kurniaan Allah. Itulah maksudnya ciptaan tidak langsung daripada Allah.

Yang mana lebih menenangkan?

Rupa-rupanya hati kita akan menjadi tenang apabila kita memandang sesuatu ciptaan yang langsung daripada Allah S.W.T. Cuba bandingkan, bagaimana rasa hati kita apabila melihat bukit-bukau, laut, sungan ataupun tasik dengan melihat bangunan pencakar langit? Yang manakah lebih menenangkan hati? 

Tentulah melihat tasik, sungai dan bukit. Sebab itulah, biasanya orang beriadah atau berkelah di tepi tasik, sungai atau bukit. Selalunya orang yang memilih lokasi yang dekat dengan alam semulajadi.

Apabila hati kita tenang ketika melihat langit, bukanlah kerana langit itu yang memberi ketenangan. Tetapi kerana langit itu 'dekat' dengan Allah yang menciptanya. Hati kita akan jadi lebih tenang apabila dekat dengan sesuatu yang dekat dengan Allah.

Kalau begitu pun hati kita berasa tenang, apa lagi kalau hati kita dekat terus dengan Allah melalui zikrullah dan ibadah. Tentulah akan lebih tenang. Benarlah firman Allah:

"Ketahuilah dengan mengingati Allah (zikrullah) hati akan menjadi tenang. " 
(Surah Ar-Ra'd: 28.)

Pandanglah langit yang luas dan tidak bertepi. Lalu ingatlah Allah yang bersifat Al-Wasi' (Yang Maha Meluaskan). Insya-Allah, hati akan menjadi lebih tenang dan lapang. Ilmu, rezeki, dan lain-lainnya pun akan menjadi bertambah luas.





Istiqamah
Call/SMS 016-665 1059






No comments:

Post a Comment