Thursday 27 November 2014

Law of Tenfold Return


Assalamualaikum.
Saya sangat ingin berkongsi hasil pembacaan saya melalui buku Bebas Dari Belenggu hasil karya Dr. Azhar Hj Sarip mengenai Law of Tenfold Return.


"Law of Tenfold Return, jika kita terjemahkan, secara mudahnya ia bermakna ‘Hukum Pulangan Sepuluh Kali Ganda’ yang memberi maksud  setiap pelaburan yang disemai akan bercambah menjadi sepuluh keuntungan.  Seandainya kita bertanya dengan sesiapa sekalipun yang ingin melabur, pasti mereka inginkan satu pulangan yang besar apatah lagi jika hasil pelaburan itu memberi pulangan sehingga sepuluh kali ganda.

Dalam hukum pulangan sepuluh kali ganda, apa yang perlu ialah benihnya yang juga sering dipanggil seed money. Kita perlu mempunyai benih dan menyemainya agar membuahkan hasil yang memuaskan. Justeru itu, kita perlu membayar zakat. Zakat itu sebenarnya seed money yang sering diabaikan kerana kealpaan ataupun kerana takut kerugian. Mengapa harus takut rugi sedangkan orang yang melihat Islam dari luar itu mempraktikkannya?

Terdapat ketirisan dalam mencapai keinginan pelaburan benih duit. Yang pertama sekali, apabila ditanya mengapakah kita melakukan sedekah, maka jawapan yang sering di dengar adalah kerana ia dapat memberi pahala.

Kisah orang yang sering merungut tentang kesusahan untuk mendapatkan pulangan sedekahnya banyak kali kedengaran. Mereka bersedekah dengan harapan untuk mendapat pahala. Mereka juga mengatakan bahawa sedekah itu ikhlas.
Namun apabila datang suatu ketika dilanda kesusahan, mereka akan mengeluh dan kemudian bertanya, “Kenapa terjadinya kesusahan ini sedangkan selama ini telah banyak bersedekah” Bukankah satu kebaikan itu diberi sepuluh ganjaran kebaikan?”

Apa yang jelas, mereka yang tergolong dalam golongan ini cukup memahami apa yang diperkatakan dalam hukum sepuluh kali ganda atau Law of Tenfold, tapi mereka tidak pula mendapat hasil daripada kebaikan mereka. Kuncinya disini adalah niat mereka.

Orang Barat cukup suka mengaplikasikan apa yang di ajar oleh Rasullullah S.A.W. Perkara yang paling diikuti oleh mereka ialah niat, iaitu setiap perbuatan itu dimulakan dengan niat dan setiap perbuatan itu mengikut niatnya. Oleh itu mereka mempraktikkan niat untuk mendapatkan pulangan yang lumayan. Kita tahu bahawa kita perlu berniat tetapi cuba renungkan kembali berapa kali kita bersedekah dengan niat. Mungkin ada, mungkin juga tidak. Kalau ada pun, jarang-jarang kita lakukan kerana kita mengambil mudah semua perkara.

Kita sememangnya tahu bahawa kita memerlukan pulangan untuk dunia tetapi mengapa kita tidak berlaku jujur terhadap diri sendiri sewaktu melakukan kebaikan. Jika kita lihat, selagi sesorang itu bersifat makhluk, dia pasti mahukan balasan biarpun sedikit. Seorang ibu misalnya, biar sedalam mana kasih sayangnya terhadap si anak, pasti jauh di lubuk hati, mahukan sesuatu daripada anaknya. Setidak-tidaknya, dia mahukan anaknya menjadi insan berguna. Kemahuan itu juga sebenarnya salah satu daripada balasan. Itu juga dipanggil balasan keduniaan.

Jadi mengapa tidak sewaktu kita berbuat kebaikan itu, kita memohon kepada Allah agar dikurniakan juga limpahan balasan dunia. Mengapa kita hanya memfokuskan balasan itu semata-mata untuk akhirat dan kemudian merungut untuk mencapai kesenangan di dunia?”

Bebas Dari Belenggu, Dr. Azhar Hj Sarip, page 62.

Dalam entri yang akan datang, Insya-Allah akan dikongsikan bagaimana cara mempraktikkan dengan memperbetulkan niat.

Sumber: Internet (ekasatriana.com)








No comments:

Post a Comment